Sejarah Sekolah

Sekolah Agama Menengah Sungai Haji Dorani yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Agama Sungai Haji Dorani telah diasaskan oleh penduduk tempatan yang diketuai oleh Tuan Guru Tempatan, iaitu Tuan Guru Mohammad Faqih pada 5 Julai 1953.

Guru Besar yang ditugaskan pada ketika itu Tuan Haji Badaruddin Bin Haji Salleh dengan dibantu oleh Tuan Haji Mohd Bin Haji Mohd Zain. Pada ketika itu hanya tiga (3) kelas sahaja dapat diadakan.

Pada awal tahun 60an sekolah ini diambil alih Jabatan Agama Islam Selangor dan dijadikan Sekolah Agama Menengah Khas Kerajaan Negeridan kelasnya hingga ke peringkat darjah sembilan. Guru Besar pada ketika itu ialah Allahyarham Ustaz Haji Masri Bin Haji Abd. Karim dan dibantu oleh beberapa orang guru.

Antara Pengasas Pertama dari penduduk tempatan seperti Allahyarham Tok Sidang Haji Nawawi Bin Hassan Omar, Allahyarham Tuan Haji Shamsuddin Bin Dasuki dan Allahyarham Tuan Haji Nasir Bin Haji Ahmad.

Tapak Bangunan Asas kepada bangunan yang ada sekarang ini seluas 1 Ekar telah diwakafkan olehTok Sidang Haji Nawawi Bin Hassan Omar, sebagai perintis kepada terbinanya sebuah sekolah rakyat di Sungai Haji Dorani ini yang lebih dikenali sebagai Pekan Selasa Lama.

Sekolah ini pada peringkat awalnya merupakan sekolah yang berasaskanSistem Pondok dan pada ketika itu. kerusi, meja dan keperluan-keperluan lain adalah wakaf dan derma daripada orang ramai terutama penduduk kampung iniTapak sekolah ini pula telah diwakafkan oleh Dato’ Sidang Haji Nawawi Bin Hassan Omar, Haji Basri Bin Abdullah, Dato’ Sidang Haji Yahya Ketua Kampung Parit 3, Sungai Haji Dorani.

Pada tahun 1964, sebuah bangunan baru separuh batu telah didikan dengan bantuan Kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Kerja Raya (Bantuan Perancangan Luar Bandar – PLB). Pada Ogos 1967 sebuah lagi bangunan telah dibina dibawah seliaan JKR dan telah di rasmikan pada 23 April 1968 olehY.B. Dato’ Harun Bin Idris, Menteri Besar Selangor pada ketika itu. Bangunan ini dikenali dengan Blok A.

Pada Jun 1970 sekali lagi peruntukan telah diberikan dan terbinalah bangunan blok B. Pada 19 Jun 1971 sekali lagi Y.B. Dato’ Harun Bin Idris turun merasmikan bangunan ini. Bangunan tersebut telah dapat menampung sembilan darjah yang dikenali sebagai Darjah Khas Sembilan.




Pada awal tahun 1978 bangunan sekolah ini terpilih Sekolah Agama Menengah Rendah oleh pihak JAIS untuk dijadikan (SAMR) mengikut sistem pelajaran yang ada hingga ke hari ini dan menempatkan pelajar-pelajar di kawasan sekitarnya untuk menyambung pelajaran hingga keperingkat SRP (Sijil Rendah Pelajaran). Pengetuanya pada ketika itu ialah Ustaz Mohd Masood Bin Salamon hingga pertengahan tahun 1984. Kemudian beliau digantikan oleh Ustaz Abdullah Salleh Bin Sulaiman bermula 31 Disember 1984 hingga 3 Januari 1993. Tugas ini kemudian diganti oleh Ustaz Marwan Bin Kasikon bermula 01 Ogos 1994 hingga 31 Oktober 2000.


 

Untuk menampung pelajar yang bertambah ramai pada tahun 1987 satu blok bangunan telah didirikan oleh kerajaan melalui (PLB). Hasil dari permohonan dari pihak sekolah dan PIBG dikenali sebagi bangunan blok C. Setelah itu pada tahun 1988 didirikan satu blok bangunan lagi juga oleh (PLB) dikenali sebagai blok D iaitu sumbangan daripada blok C. Oleh kerana sambutan masyarakat yang begitu menggalakkan dan bilangan pelajar yang ramai, pihak kerajaan dengan kerjasama MAIS / Baitul Mal telah bermurah hati membina sebuah bangunan tambahan untuk menampung keperluan yang semakin bertambah dan sebuah kantin yang selesa untuk guru-guru dan pelajar. Alhamdulillah pada masa ini segala keperluan asas yang terdapat di sekolah ini dapat digunakan oleh pelajar-pelajar sekolah ini yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Rendah Agama Sungai Haji Dorani pada sissi petang dan Sekolah Agama Menengah Rendah pada sessi pagi.

Oleh kerana bangunan ini digunakan oleh dua sesi persekolahan iaitu di sebelah pagi digunakan untuk menempatkan pelajar-pelajar sekolah menengah manakala sebelah petangnya digunakan untuk sekolah rendah agama. Pihak sekolah dan PIBG memikirkan bangunan yang ada ini hanya boleh menampung penempatan pelajar-pelajar hingga Tingkatan 3 sahaja. Untuk menyambung pelajaran hingga ke tingkatan Empat dan Lima memerlukan bangunan yang lebih besar dan lengkap mengikut keperluan pembelajaran masa kini. Oleh itu pihak sekolah dan PIBG telah memohon kepada Kerajaan Negeri untuk mendirikan bangunan Sekolah Menengah Agama yang berasingan dari bangunan yang sedia ada.




Alhamdulillah pada akhir tahun 2000 sebuah kompleks bangunan sekolah baru mula di bina oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui JKR di atas sebidang tanah seluas enam ekar terdiri daripada dua blok bangunan empat tingkat, sebuah kantin dan garaj untuk guru-guru dan pelajar di atas tapak Lot 11185, 11186 dan 11187 bertempat di jalan lama Sungai Haji Dorani dengan dilengkapi kemudahan asas.
Surat dari Kerajaan Negeri Selangor
Geran tanah
  Pada 01 November 2000 tugas Pengetua telah disandang oleh Ustaz Mohd Shaharoni Bin Abdul Basir hingga 31 Januari 2002. Pada 01 Februari 2002 tugas Pengetua ini telah disandang oleh Tuan Haji Jamali Bin Haji Sajat. Kita merancang, Allah menentukan. Pada akhir tahun 2004 berlaku pertukaran dan penstukturan pengetua-pengetua khususnya di JAIS, maka Tuan Haji Abdullah Saleh bin Sulaiman dari SAM Cheras, menggantikan Tuan Haji Jamali bin Haji Sajat di SAM Sungai Haji Dorani, manakala Tuan Haji Jamali bin Haji Sajat ke SAM Parit Baru untuk mengisi kekosongan Pengetua disana kerana bersara wajib. Terima kasih Tuan Haji Jamali bin Haji Sajat. Jasamu tetap dikenang.



Bangunan tersebut telah siap dibina pada 26.08.2003. Walau bagaimanapun untuk melengkapkan lagi pada Ogos 2003 ini juga sebuah kantin khas untuk guru, sebuah surau dan sebuah makmal komputer telah dibina dan diserahkan kepada sekolah pada 01 Januari 2004.

April 2006, Tuan Haji Abdullah Saleh bin Sulaiman telah bersara wajib. Maka pucuk pinpinan bertukar tangan kepada Tuan Haji Mohd Yunus bin A Hamidyang didatangkan dari SAM Seri Desa Tanjung Karang. Sebelum kekosongan itu dipenuhi Tuan Haji Baharudin bin Ali telah memangku tugas pengetua. Terima kasih Tuan Haji Baharudin bin Ali dan Tuan Haji Abdullah Saleh bin Sulaiman. Hanya Allah akan memberi rahmat ke atas kalian.

Menjelang Oktober 2009, Tuan Haji Mohd Yunus bin Ab Hamid telah bersara wajib. Pada ketika itu tempat pengetua dipangku oleh Puan Hajah Salmah binti Haji Ahmad Marzuki yang mana pada tahun itu masuk menggantikan Cikgu Kamaron Laili bin Kardini yang bertukar ke SAM Pasir Panjang. Dengan pengalaman yang ditimba dari SMKA Kuala Selangor, Puan Hajah Siti Salmah mengambil tempat memajukan SAM Sg Hj Dorani hingga prasarananya kian bertambah dan persekitarannya semakin indah. Bermula Januari 2010, Sekolah Agama Menengah Sungai Haji Dorani telah menerima kepimpinan baharu yang lebih hebat dari segi pengalaman serta keterampilannya. Beliau ialah Tuan Haji Saibudin bin Haji Ahmad bekas Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor. Hasil dari pimpinan Tuan Haji Saibudin, SAM Sungai Haji Dorani sekali lagi mengalami revolusi. banyak perkara baharu turut dibawa ke sekolah yang bertuah ini.